Friday, January 9, 2009

Majalah Aquabase : Cabaran 2008 kepada industri aquakultur

Cabaran 2008

Sepanjang tahun 2008 industri aquakultur tidak terkecuali terkena tempias sama ada ketidaktentuan iklim dunia dan perubahan ekonomi sejagat serta tempias politik dunia. Seperti cabang pertanian yang lain, saling ketebergantungan aquakultur pada cuaca mendatangkan kesan besar terutama pada awal tahun 2008 dengan perubahan iklim serantau yang ketara.

2008 banyak memberi cabaran kepada industri aquakultur khususnya di rantau ini. Perubahan iklim dunia yang mendadak mendatangkan pengaruh besar dalam industri ini terutamanya di peringkat awal pengeluaran seperti pusat-pusat pembenihan dan ladang ternakan.


ehsan dari flickr

Bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam industri ini, mungkin menyedari perubahan iklim yang bermula di perhujung tahun 2007 dan agak ketara di awal tahun 2008.
  • Kejatuhan suhu yang mendadak iaitu bermula dengan perubahan julat suhu harian besar; suhu yang panas terlampau pada waktu tengahari dan terlalu dingin pada waktu malam. Ini memberi perubahan suhu harian yang ketara, situasi ini memberi kesan ketara kepada bidang aquakultur. Kesannya ternakan seperti keli mudah diserang penyakit seperti antaranya reput ekor, bengkak insang dan mudah luka.
  • Kesan dari perubahan suhu ini, menyebabkan daya tahan ternakan terhadap penyakit berkurangan sekaligus menyebabkan ternakan senang diserang penyakit. Situasi ini jua dialami oleh ternakan lain contoh ternakan siakap dalam sangkar, dari pemerhatian Majalah Aquabase antaranya komuniti aqua yang terlibat ialah golongan pengusaha ternakan siakap dalam sangkar di sekitar perairan Tok Bali dan Kuala Semerak, Kelantan. Kematian ternakan siakap akibat penyakit kulat pada sisik yang menyerang hampir keseluruhan ternakan siakap di sini secara mendadak merupakan fenomena luarbiasa bagi golongan penternak di sini.
  • Kekurangan bekalan anak benih seperti keli dan udang di dalam negara; pusat pembenihan mengalami penurunan produktiviti kesan perubahan iklim ini, selain Malaysia, jiran terdekat Thailand tidak terkecuali terkena tempias ini, ini sekaligus memberi impak kepada bekalan anak benih keli negara. Ini menyebabkan perningkatan permintaan terhadap bekalan benih tempatan dari pengusaha tempatan yang selama ini bergantung kepada bekalan benih siam. Di sini timbulnya isu-isu seperti; jaminan keselamatan dan 'survival atau kelangsungan hidup' pengusaha aquakultur tempatan terhadap jaminan bekalan anak benih yang mencukupi dan berkualiti.

petikan artikel berita harian

Corak ekonomi dunia yang tidak menentu, memberi kesan besar kepada pengusaha aquakultur.

  • Kenaikan ketara harga komoditi dan bahan bakar sekaligus meningkatkan kos pengeluaran seperti kos makanan dan operasi. Sepanjang 2008 berlaku beberapa kali peningkatan pallet makanan ternakan antara 20 - 50% ini amat membebankan golongan penternak. Majalah Aquabase ada menerima rungutan dari pengusaha ternakan siakap tempatan yang terpaksa berhenti akibat kos makanan terlampau tinggi.
  • Ini diburukkan lagi dengan peningkatan harga bahan bakar yang mendadak, kesannya kos operasi turut meningkat dengan ketara. Kos operasi seperti pengangkutan, mesin seperti pam air dan paddle wheel.

Sekiranya peningkatan kos ini seiring dengan peningkatan harga produk aquakultur di pasaran ianya tidak akan menimbulkan konflik kepada golongan penternak. Ini kerana harga produk aquakultur di pasaran masih menggunakan struktur harga lama, seharusnya kajian terhadap struktur harga semasa perlu seiring dengan kos semasa.

Kesan lebih ketara kepada golongan pengusaha-pengusaha kecil, ini menjejaskan periuk nasi golongan ini, sekali gus memberi kesan ekonomi-sosial dalam masyarakat.Diharap penyelesaian yang segera dan prihatin perlu diambil oleh pihak-pihak bertanggungjawab dalam menangani masalah ini.

Bagi yang diluar sana mungkin tidak menyedari perkara sebegini namun bagi pengusaha dan komuniti yang libat secara langsung dalam bidang ini akan merasai kesannya sedikit sebanyak.


Salam Tahun Baru 2009
dari Majalah Aquabase

Wednesday, January 7, 2009

Selamat Datang ke Majalah Aquabase

Salam

Majalah Aquabase dilancarkan bagi memperbincangkan info - info asas dalam aquakultur sama ada peternakan air tawar, air payau dan laut masin. Segala artikel yang dilampirkan majalah aquabase merupakan pandangan dari perspektif seorang penternak, pengusaha, peniaga dan komuniti niaga tani khusus di Malaysia.

Majalah Aquabase akan menerbitkan artikel percuma dan komersil bagi tatapan penternak dan mereka yang terlibat di luar sana. Kewujudan majalah ini, adalah atas permintaan dan keperluan khususnya masyarakat tani aqua di luar sana.

Sebagai info tambahan aquabase.blogspot.com merupakan kesimbungan dari weblog aquabase.wordpress.com dikenali denga entiti baru sebagai Majalah Aquabase .