Monday, April 6, 2009

Masalah permakanan ternakan keli : satu pertanyaan umum

ada beberapa pertanyaan emel terpilih dari komuniti aqua berkenaan pertanyaan umum, seperti dilampirkan disini.



salam
berkenaan persoalan saudari ajukan, antara persoalan umum yang diajukan kepada pengusaha ternakan ini. Kurangnya pemahaman masyarakat pengguna terhadap cabaran semasa yang dihadapi oleh penternak menimbulkan situasi ini.

Faktor pasaran banyak mempengaruhi jenis makanan ternakan keli. Harga keli yang rendah memaksa penternak memanfaatkan sisa buangan ayam sebagai sumber protein yang popular. Dengan harga pasaran yang ada sekarang agak membebankan mojariti penternak untuk menggunakan 100% pallet dalam pemakanan harian ternakan keli. Ini dibuntukan lagi dengan peningkatan harga pallet di pasaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mungkin ada segelintir penternak, menghasilkan pallet sendiri dari sumber protein yang lain seperti debu ikan atau ikan baja. Namun kejayaannya banyak bergantung kepada campuran bahan mentah yang sesuai pada kadar kos yang berpatutan. Kebanyakannya masih kalah dengan kos pengeluaran terutamanya peningkatan kos semasa. Pada volume ternakan yang tinggi juga menimbulkan masalah bagi mendapatkan bahan mentah serta pengurusan sumber makanan ternakan itu sendiri.

Pada pandangan pihak kami, peningkatan harga jualan keli pada kadar yang berpatutan dengan kos pengeluaran merupakan penyelesaian terbaik bagi masalah yang membelenggu ternakan ini. Paras harga keli yang masih kekal sejak 10 tahun yang lepas berbanding beberapa harga ternakan lain seperti ayam daging adalah jawapan yang jelas kenapa penternak masih menggunakan sisa organ atau meninimakan sebanyak mungkin kos pengeluaran
untuk terus berdaya saing dalam pasaran. Adakah ini menimbulkan situasi adil bagi kedua-dua pihak?

Sudah sampai masa paras harga ternakan ini disemak dan dikaji secara lebih terperinci oleh badan yang bertanggunjawab sama ada dari pihak kerajaan atau swasta bagi menjamin masa depan industri ternakan keli terus berdaya maju. Mungkin model contoh dari negara jiran seperti Thailand boleh digunakan sebagai landasan bagi piawaian harga ternakan aquakultur di masa hadapan.

Pihak kami berbangga sekiranya terdapat kaedah penyelesaian terhadap masalah seperti yang dinyatakan oleh saudari.Di mana secara hakikatnya ternakan keli ini sendiri telah banyak berevolusi sejak diperkenalkan 20 tahun yang lepas di negara ini, Mungkin secebis pandangan dari golongan hawa memberi penyelesaian kepada permasalahan ini.

sekian

Monday, March 2, 2009

Ternak Ikan Keli

Kaedah Ternak Ikan Keli?

bagi yang baru dengan bidang aquakultur atau ternakan air tawar, akan tertanya-tanya apakah kaedah terbaik menternak ikan keli sebenarnya. Adakah dalam kolam iaitu kolam tanah atau kolam konkrit, ternakan sangkar, tangki fiberglass, ternakan kanvas dan pelbagai kaedah termaju seperti sistem berkonsep biofilter (contohnya RAS ) atau mekanikal filter? Sebelum memberi jawapan kepada persoalan ini, di sini Aquabase lampirkan sedikit info asas kaedah ternakan dalam aquakulur.

Secara asasnya hanya terdapat 2 sistem asas kaedah ternakan dalam aquakultur iaitu sistem ternakan terbuka dan sistem ternakan tertutup. Kedua-duanya diamalkan berdasarkan kepada kriteria berikut: iklim setempat, bentuk rupa bumi, keperluan habitat asal ternakan, keperluan piawaan pasaran dan tujuan utama ternakan itu serta modal yang sanggup dilaburkan oleh seorang pengusaha itu sendiri.

Kolam tanah contoh paling jelas kepada sistem ternakan terbuka. Antara yang mengamalkan sistem separa tertutup seperti kolam konkrit, tangki fiber, kanvas manakala sistem RAS yang mempraktikan sepenuhnya amalan sistem ternakan tertutup.Berbalik kepada persoalan asal manakah kaedah terbaik bagi memulakan projek ternakan keli ialah:

  • Tujuan asal ternakan, adakah untuk komersil atau suka-suka (hobi). Di sini ramai mereka yang keliru pada peringkat awal menceburi diri dalam bidang ini, ada yang sekadar hobi menternak ikan keli sahaja atau ingin menjadikan sumber pendapatan utama. Sekiranya kita dapat membezakan secara jelas, bererti kita dapat tertentu kaedah ternakan yang sesuai. Bagi tujuan komersil, kelebihan masih lagi terletak pada sistem terbuka iaitu kolam tanah dan konkrit. Untuk hobi kaedah ternakan dalam tangki fiberglass antara pilihan yang tepat.
  • Bentuk muka bumi. ini merangkumi lokasi ternakan, adakah seorang pengusaha mempunyai tanah yang sesuai, sumber air yang mencukupi dan sistem sokongan seperti elektrik, air dan jalan. Contohnya kawasan tasik, lombong dan sungai lebih sesuai gunakan kaedah sangkar bagi ternak keli. Tidak semua tanah sesuai untuk membina kolam ternakan contohnya tanah pasir dan berselut. Kawasan banjir elakkan terus dari membina kolam. Contohnya sistem kanvas sesuai diamalkan persekitaran urban sekaligus memberi peluang kepada golongan yang mempunyai ruang terhad untuk menternak.
  • Piawaan pasaran harus diambil kira, terdapat pembezaan kriteria keperluan antara pasaran demostik dan eksport. Bagi pasaran eksport, selain keperluan piawaan dari negara asal pengimport, mungkin nilai tambah seperti kelebihan nutrisi contoh keli omega 3 atau konsep ternakan organik dan persekitaran ternakan seperti ternakan biofilter antara elemen yang diperlukan bagi memenuhi pasaran khusus seperti ini.
  • Modal pengusaha. jumlah modal yang adalah faktor utama menentukan kaedah ternakan keli. Bagi yang mempunyai modal yang kukuh kaedah ternakan berskala besar dan komersil antara pilihannya. Untuk yang ada kekangan modal, kaedah ternakan yang lebih murah dan efesien adalah pilihan yang tepat.
Diharap sedikit sebanyak penjelasan di atas memberi panduan khususnya kepada golongan yang baru atau ingin menceburi diri dalam bidang ini. Seharusnya sebagai seorang penternak, kita tidak perlu terikat atau taksud kepada mana-mana kaedah samaada tradisi maupun moden dalam membuat pilihan. Fikirlah mengikut kesesuaian.

Friday, January 9, 2009

Majalah Aquabase : Cabaran 2008 kepada industri aquakultur

Cabaran 2008

Sepanjang tahun 2008 industri aquakultur tidak terkecuali terkena tempias sama ada ketidaktentuan iklim dunia dan perubahan ekonomi sejagat serta tempias politik dunia. Seperti cabang pertanian yang lain, saling ketebergantungan aquakultur pada cuaca mendatangkan kesan besar terutama pada awal tahun 2008 dengan perubahan iklim serantau yang ketara.

2008 banyak memberi cabaran kepada industri aquakultur khususnya di rantau ini. Perubahan iklim dunia yang mendadak mendatangkan pengaruh besar dalam industri ini terutamanya di peringkat awal pengeluaran seperti pusat-pusat pembenihan dan ladang ternakan.


ehsan dari flickr

Bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam industri ini, mungkin menyedari perubahan iklim yang bermula di perhujung tahun 2007 dan agak ketara di awal tahun 2008.
  • Kejatuhan suhu yang mendadak iaitu bermula dengan perubahan julat suhu harian besar; suhu yang panas terlampau pada waktu tengahari dan terlalu dingin pada waktu malam. Ini memberi perubahan suhu harian yang ketara, situasi ini memberi kesan ketara kepada bidang aquakultur. Kesannya ternakan seperti keli mudah diserang penyakit seperti antaranya reput ekor, bengkak insang dan mudah luka.
  • Kesan dari perubahan suhu ini, menyebabkan daya tahan ternakan terhadap penyakit berkurangan sekaligus menyebabkan ternakan senang diserang penyakit. Situasi ini jua dialami oleh ternakan lain contoh ternakan siakap dalam sangkar, dari pemerhatian Majalah Aquabase antaranya komuniti aqua yang terlibat ialah golongan pengusaha ternakan siakap dalam sangkar di sekitar perairan Tok Bali dan Kuala Semerak, Kelantan. Kematian ternakan siakap akibat penyakit kulat pada sisik yang menyerang hampir keseluruhan ternakan siakap di sini secara mendadak merupakan fenomena luarbiasa bagi golongan penternak di sini.
  • Kekurangan bekalan anak benih seperti keli dan udang di dalam negara; pusat pembenihan mengalami penurunan produktiviti kesan perubahan iklim ini, selain Malaysia, jiran terdekat Thailand tidak terkecuali terkena tempias ini, ini sekaligus memberi impak kepada bekalan anak benih keli negara. Ini menyebabkan perningkatan permintaan terhadap bekalan benih tempatan dari pengusaha tempatan yang selama ini bergantung kepada bekalan benih siam. Di sini timbulnya isu-isu seperti; jaminan keselamatan dan 'survival atau kelangsungan hidup' pengusaha aquakultur tempatan terhadap jaminan bekalan anak benih yang mencukupi dan berkualiti.

petikan artikel berita harian

Corak ekonomi dunia yang tidak menentu, memberi kesan besar kepada pengusaha aquakultur.

  • Kenaikan ketara harga komoditi dan bahan bakar sekaligus meningkatkan kos pengeluaran seperti kos makanan dan operasi. Sepanjang 2008 berlaku beberapa kali peningkatan pallet makanan ternakan antara 20 - 50% ini amat membebankan golongan penternak. Majalah Aquabase ada menerima rungutan dari pengusaha ternakan siakap tempatan yang terpaksa berhenti akibat kos makanan terlampau tinggi.
  • Ini diburukkan lagi dengan peningkatan harga bahan bakar yang mendadak, kesannya kos operasi turut meningkat dengan ketara. Kos operasi seperti pengangkutan, mesin seperti pam air dan paddle wheel.

Sekiranya peningkatan kos ini seiring dengan peningkatan harga produk aquakultur di pasaran ianya tidak akan menimbulkan konflik kepada golongan penternak. Ini kerana harga produk aquakultur di pasaran masih menggunakan struktur harga lama, seharusnya kajian terhadap struktur harga semasa perlu seiring dengan kos semasa.

Kesan lebih ketara kepada golongan pengusaha-pengusaha kecil, ini menjejaskan periuk nasi golongan ini, sekali gus memberi kesan ekonomi-sosial dalam masyarakat.Diharap penyelesaian yang segera dan prihatin perlu diambil oleh pihak-pihak bertanggungjawab dalam menangani masalah ini.

Bagi yang diluar sana mungkin tidak menyedari perkara sebegini namun bagi pengusaha dan komuniti yang libat secara langsung dalam bidang ini akan merasai kesannya sedikit sebanyak.


Salam Tahun Baru 2009
dari Majalah Aquabase

Wednesday, January 7, 2009

Selamat Datang ke Majalah Aquabase

Salam

Majalah Aquabase dilancarkan bagi memperbincangkan info - info asas dalam aquakultur sama ada peternakan air tawar, air payau dan laut masin. Segala artikel yang dilampirkan majalah aquabase merupakan pandangan dari perspektif seorang penternak, pengusaha, peniaga dan komuniti niaga tani khusus di Malaysia.

Majalah Aquabase akan menerbitkan artikel percuma dan komersil bagi tatapan penternak dan mereka yang terlibat di luar sana. Kewujudan majalah ini, adalah atas permintaan dan keperluan khususnya masyarakat tani aqua di luar sana.

Sebagai info tambahan aquabase.blogspot.com merupakan kesimbungan dari weblog aquabase.wordpress.com dikenali denga entiti baru sebagai Majalah Aquabase .